Welcome


SUGENG RAWUH

SELAMAT DATANG



Wednesday, April 21, 2010

Tingkatan Tutur Bahasa Jawa

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.....

Dalam artikel pada kali ini, saya ingin menyentuh sedikit sebanyak tentang bahasa Jawa yang menjurus ke arah tingkatan tutur bahasa. Mungkin bagi sesetengah masyarakat Malaysia, tingkatan tutur bahasa agak kedengaran canggung dan tidak sinonim. Untuk pengetahuan, bahasa Jawa boleh dipecah menjadi dua jenis dialek: -
1. Dialek geografi ( seperti dialek Solo, dialek Banyumas, dialek Surabaya dll )
2. Dialek sosial
Tingkatan tutur bahasa merupakan dialek sosial dalam bahasa Jawa. Tingkatan tutur bahasa ini digunakan dalam perbualan untuk menunjukkan kesantunan dalam berbahasa. Tingkatan tutur bahasa atau turut dikenali sebagai unggah-ungguhing basa atau undhak-usuk basa boleh dibahagi kepada tiga jenis ragam:-
i) ragam ngoko (sebutan: ngoko - o seperti sebutan o-Kelantan iaitu, ambo)
ii) ragam madya (sebutan: madyo - o seperti sebutan o-Kelantan iaitu, ambo)
iii) ragam krama (sebutan: kromo - o seperti sebutan o-Kelantan iaitu, ambo)
Sebelum saya memperincikan setiap ragam-ragam dalam tingkatan tutur bahasa, sebaiknya saya menerangkan serba sedikit sejarah kewujudan tingkatan tutur bahasa ini.

Pada dasarnya, dalam bahasa Jawa tidak wujud sebarang tingkatan tutur bahasa seperti sekarang. Buktinya, tingkatan tutur bahasa ini tidak wujud dalam bahasa Jawa Kuno mahupun bahasa Jawa Pertengahan, apatah lagi bahasa Kawi (sejenis bahasa kesusasteraan pada zaman kuno). Umumnya, hanya wujud satu jenis ragam dalam berbahasa iaitu, ragam ngoko. Ragam ngoko merupakan asas bagi bahasa Jawa memandangkan ragam ngoko memiliki ratusan ribu kosa kata sedangkan ragam krama hanya memiliki 850 kata dan ragam krama inggil memiliki 250 kata sahaja. Kewujudan tingkatan tutur bahasa dipercayai bermula pada abad ke-15 atau abad ke-16, ketika kekuasaan Kesultanan Mataram pimpinan Sultan Agung. Ragam krama yang baru diciptakan bertujuan memaparkan citra keaggunan dalam berbicara yang dianggap njawani. Ragam krama yang baru diilhamkan itu juga bertujuan melambangkan rasa hormat kepada lawan bicara yang lebih tua dan mempunyai status yang tinggi dalam masyarakat. Perlu difahami bahawa pada zaman dahulu, masyarakat Jawa merupakan masyarakat yang mendukung sistem feudalisme yang terasnya ialah pemilikan tanah. Oleh itu, wujud hieraki dalam masyarakat yang mengarah kepada kewujudan susunan tingkatan tutur. Walau bagaimanaapun, menurut Benedict Anderson (1990), kewujudan ragam ngoko-krama ini berpunca daripda krisis politik-budaya yang terjadi sejak abad ke-16 yang semakin serius setelah penjajahan Belanda. Penjajah Belanda cuba meregangkan hubungan keraton dan rakyat dengan memfeudalkan sistem pemerintahan dan bermasyarakat secara jelas. Jesteru itu, bahasa dapat dijadikan alat untuk melaksanakan agenda mereka. Menurut Anderson lagi, bentuk Krama ini adalah bentuk kekuasaan Jawa yang secara de facto telah hilang. Raja-raja Jawa ketika itu dijadikan boneka hidup oleh Belanda. Dari hal itulah maka terwujudnya ragam-ragam ini yang berakar daripada feudalisme yang dianggap menguntungkan pihak Belanda kerana mereka dapat bersembunyi di sebalik raja-raja kecil itu dalam mempelancar kepentingan penjajahannya. Oleh sebab itu, dapat diketahui mengapa kosakata ragam krama terlalu sedikit. Kosakatanya dicipta hanya untuk membolehkan segala arahan dan perintah dikeluarkan di samping bertunjangkan sistem kebangsawanan.

Walau apapun teori yang disuguhkan, ragam-ragam tingkatan tutur bahasa masih wujud sehingga ke hari ini. Namun, kebimbangan jelas dirasa oleh pakar dan pencinta bahasa Jawa apabila anak-anak Jawa sudah tidak lagi mengenali ragam-ragam ini. Realitinya, ragam ini masih kuat didukung oleh bahasa Jawa Baku iaitu, bahasa Jawa yang bertunjangkan dialek Solo atau Surakarta dan dialek Yogyakarta yang berasal daripada kesultana kecil tinggalan kesultanan Mataram. Malangnya, dalam dialek bahasa Jawa yang lain, terutamanya Jawa Ngapak (Jawa Kulonan yang bereti dialek Jawa yang wujud di Jawa Barat dan perbatasannya) dan Jawa Timuran yang merupakan dialek-dialek yang egaliter, iaitu dialek yang tidak mengenal tingkatan tutur bahasa dalam berbicara. Masyarakat penutur daripada golongan dialek yang egaliter itu hanya akan menggunakan ragam krama jika berbual dengan lawan bicara yang dianggap berasal dari Jawa Tengahan yang menggunakan dialek baku yang turut dikenali sebagai Jawa Bandhek. Di Suriname, ragam-ragam ini masih wujud dan tetap dipertahankan walaupun penutur-penuturnya kebanyakkan daripada kalangan warga tua. Situasi di Malaysia boleh dikatakan lebih parah. Bukan sekadar ragam krama, bahkan ragam ngoko juga sudah tidak dikenali oleh anak-anak Jawa. Namun, ragam-ragam ini cuba dipulihara oleh segelintir anak-anak Jawa yang masih sayang akan bahasa ibunda mereka. Mereka cuba mempelajari dan mengajari bahasa Jawa sama ada ragam krama mahupun ragam ngoko secara informal melalui internet. Semoga bahasa Jawa terus lestari di bumi Malaysia yang dicintai.

Dalam artikel berikutnya, saya akan menerangkan ragam ngoko dahulu. Semoga artikel-artikel ini memberi manfaat kepada semua, terutamanya generasi Jawa di Malaysia. Malaysia Boleh!

1 comment:

  1. kang mas...

    bagus banget artikel e iki... mugi kulo entok pelajaran seko mas yo...

    ReplyDelete